Background Music Instrumentals

Sunday 6 April 2014

INSTITUSI PENDIDIKAN

Institusi Pendidikan merupakan salah satu sistem yang sering digunapakai oleh semua negara di dunia. Sistem ini menjadi tonggak utama bagi sesebuah negara dalam mencerminkan tahap pengetahuan masyarakat di negara itu sendiri. Oleh itu, maklumat yang ingin kami sampaikan pada kali ini adalah berkaitan dengan Perkembangan Institusi Pendidikan di Perancis.

         Negara Perancis merupakan salah sebuah negara yang terletak di Benua Eropah. Perkembangan sistem pendidikan banyak dipengaruhi oleh perubahan yang berlaku semasa Zaman Renaisans. Zaman ini telah melahirkan golongan intelektual yang berasal daripada masyarakat di negara itu sendiri. Selain itu, Zaman Renaisans juga dikenali sebagai Zaman Pencerahan. Zaman ini telah dianggap sebagai pencetus kepada golongan cendiakiawan bagi mempergiatkan lagi perkembangan dalam bidang pendidikan di Perancis. Sebagai contoh, kemajuan dalam bidang percetakan telah memberi impak yang besar terhadap peningkatan kadar celik huruf di negara tersebut.

             Pada awal Republik Perancis, kebanyakan rakyat yang menjadi penduduk di negara tersebut masih tiada rasa cinta akan negara. Hal ini berikutan kerana wujud pertentangan di antara pihak yang menerima Revolusi Perancis dan pihak yang menolak perjuangan tersebut. Oleh itu, Pemerintah pada masa itu telah berusaha untuk mewujudkan kembali semangat nasionalisme dalam jiwa penduduk. Terdapat pelbagai saluran yang digunakan dalam meningkatkan kesedaran iaitu mempromosikan buku-buku teks secara seragam yang isinya perlu meneruskan perjuangan Negara Perancis dan pembentukan sistem baru yang bersifat pemusatan yang ketat. Selain itu, terdapat beberapa peringkat sekolah yang dibentuk. Sebagai contoh, pendidikan pada peringkat sekolah rendah adalah percuma, wajib dan tidak membezakan mengenai aliran keagamaan yang dianuti. Terdapat dua jenis sekolah yang diwujudkan iaitu Sekolah Umum Kerajaan dam Sekolah Menengah Kecil "Lycees". Sekolah Menengah Kecil "Lycees menggunakan sistem pengambilan pelajar dari kelas Menengah Borjuis. Kelas sosial tersebut merupakan golongan atasan yang sering kali keberatan untuk menghantar anak-anak mereka untuk belajar di sekolah ini bersama-sama dengan anak-anak yang dari kelas bawahan (rakyat biasa). Sistem ini diwujudkan bagi mendidik kumpulan elit serta menjalankan pembelajaran di dalam Bahasa Yunani dan Latin kerana ianya merupakan ilmu yang penting dalam pembentukan fikiran kanak-kanak tersebut.

      Pada tahun 1880, Jules Ferry selaku Menteri Pelajaran Perancis telah memperkenalkan sistem pendidikan asas kepada semua golongan. Selain itu, pendidikan juga tidak terhad kepada golongan tertentu. Bahkan, kemudahan infrastruktur seperti sekolah juga telah dibina di setiap kawasan bandar dan kampung, malah guru yang terlatih juga telah ditempatkan di kawasan tersebut.


Berikut merupakan kronologi yang berlaku di dalam sistem pendidikan di Negara Perancis,

Sebelum Abad Ke-17
  • ·         Pendidikan diuatamakan kepada golongan atasan.

Abad Ke-17
  • ·         Pendidikan diberikan kepada semua lapisan masyarakat.
  • ·         Peningkatan kadar celik huruf.
  • ·         Umur minimum bagi kanak-kanak menamatkan persekolahan adalah 12 tahun.
  • ·        Konsep literasi “Asalkan pandai menulis tandatangan nama sediri sudah memadai”. Oleh itu, kesan kepada golongan wanita ialah terdapat ramai wanita yang boleh membaca tetapi tidak pandai menulis.
  • ·         Golongan wanita terlibat dengan pendidikan tidak formal di rumah.


Abad Ke-18
  • ·         Umur minimum bagi kanak-kanak menamatkan persekolahan adalah 14 tahun.
  • ·         Peningkatan kadar celik huruf di kawasan penduduk yang padat dan di sekitar sekolah agama.
  • ·         Sekolah agama membantu meningkatkan kadar literasi bagi membantu pelajar membaca dan memahami mengenai ilmu ketuhanan.
  • ·         Terdapat ramai kanak-kanak yang dihantar ke sekolah.
  • ·         Buku di dalam Bahasa Perancis mula mendapat sambutan.
  • ·         Perpusatakaan awam ditubuhkan agar dapat mengimbangi harga buku yang mahal di pasaran.
  • ·         Kedai kopi, kelab dan akademi telah menjadi tempat perjumpaan ilmiah (Berkumpul, Membaca dan Berdebat).


Awal Abad Ke-19
  • ·         Masyarakat yang tinggal di kawasan pedalaman (Rural Area), sebahagian besar penduduk telah didominasikan di dalam sektor pertanian.
  • ·         Pada tahun 1900 – Jumlah penduduk yang menjalankan aktiviti pertanian sebanyak 50%.
  • ·         Pada tahun 1905 – Pemisahan di antara gereja dan negara berlaku tetapi Sekolah katolik tetap berjalan lancar. Sekolah Katolik masih memperolehi dana daripada negara untuk membiayai gaji guru, biasiswa dan jaminan sosial.
  • ·        Pada tahun 1946 – Jumlah penduduk yang menjalankan aktiviti pertanian adalah seramai 35%.
  • ·        Pada tahun 1982 – Jumlah penduduk yang menjalankan aktiviti pertanian adalah sebanyak 8% sahaja.
* Perkembangan sektor perindustrian menyebabkan sektor pertanian mulai jatuh.

* Kesan daripada peristiwa tersebut terhadap sistem pendidikan telah mewujudkan garis pemisah di antara Sekolah Menengah Tinggi dengan Sekolah Menengah Awam yang bersifat tradisional.
  1. Melahirkan guru terlatih untuk mengajar di sekolah.
  •    Pada tahun 1962 – Penurunan 4% dalam sektor pertanian telah menguntungkan sektor perkhidmatan sebanyak 35% serta sektor perindustrian meningkat sebanyak 13%.
  • ·     Pada tahun 1967 – Kehadiran pelajar ke sekolah adalah wanib bagi peringkat umur 6 tahun sehingga 16 tahun.
  • ·           Pada tahun 1970 – Kanak-kanak diwajibkan masuk Pra-Sekolah sekitar umur 3 tahun sehingga 5 tahun.
  • ·          Pada tahun 1975 – PELUANG PEKERJAAN di dalam bidang perkhidmatan telah menyebabkan sistem pendidikan dianggap penting. Malahan, individu yang berumur 18 tahun berhak untuk melanjutkan pelajaran di peringkat teknik dan vokasional.
  • ·          Reformasi terhadap sistem pendidikan telah memberikan autonomi kepada daerah-daerah, kementerian dan komuniti untuk bergerak sendiri.
Untuk Keterangan Lanjut | Sila Klik Sini | 1 | 2 | 3 | 4 |


Sistem Pendidikan di Perancis berlaku selepas Revolusi Perancis 1789. Sistem pendidikan dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu sekolah rendah, sekolah menengah dan sekolah tinggi. Pada pemerintahan Napolean, beliau telah mengeluarkan arahan berkenaan tarikh persekolahan berdasarkan kod tentera “Polytechnique”. Terdapat juga beberapa jenis sekolah swasta yang diwujudkan di bawah kontrak negeri, malahan sekolah awam pula terletak di bawah Kementerian Pelajaran. Sistem pengambilan guru pula dibuat berdasarkan dua peringkat sekolah iaitu,

  1. Sekolah Rendah di bawah peringkat kebangsaan yang diputuskan oleh Institusi Pengambilan guru.
  2. Sekolah Menengah melalui pertandingan kebangsaan yang dianjurkan seperti Capes dan Pengagretan.

          Sekolah rendah merupakan peringkat pertama bagi kanak-kanak untuk memasuki alam persekolahan. Kanak-kanak akan mula bersekolah pada usia 2 tahun sehingga memasuki umur 5 tahun bagi meneruskan persekolahan di peringkat sekolah tadika. Selain itu, peringkat pra-sekolah adalah tidak diwajibkan tetapi terdapat ramai ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka untuk hadir ke sekolah. Kanak-kanak yang berumur 6 tahun akan belajar selama 5 tahun di dalam kursus persediaan sekolah rendah. Sepanjang 5 tahun kanak-kanak di alam persekolahan akan di ajar membaca, menulis, asas perkiraan, diperkenalkan dengan penggunaan bahasa asing (bahasa inggeris) dan belajar menggunakan teknologi baru iaitu asas komputer. Kanak-kanak akan belajar bersama-sama di dalam kelas tanpa mengira jantina dan mempunyai seorang guru untuk mengajar kanak-kanak tersebut.

        Sekolah menengah pula merupakan peringkat kedua semasa pelajar berada di alam persekolahan. Pelajar akan diajar mengenai kursus mata pelajaran teras seperti Perancis, Matematik, Sejarah, Geografi, Sains, Bahasa Inggeris, Pendidikan Fizikal dan sebagainya. Pada peringkat ini juga pelajar akan memperolehi brevet persijilan rasmi pertama sistem persekolahan. Sijil tersebut akan digunakan bagi seseorang individu untuk meneruskan pengajian sama ada dalam pendidikan umum (Sarjana Muda), Program-program vokasional, Penawaran diploma terakhir (CAP @ BEP) melalui kursus pendek selama 1 tahun sehingga 2 tahun. Terdapat ramai pelajar yang berminat untuk melanjutkan pelajaran di dalam pendidikan umum (Sarjana Muda) berikutan peluang yang cerah untuk melanjutkan pelajaran di peringkat universiti. Antara kursus yang ditawarkan di dalam pendidikan umum ialah program saintifik (Bac S), program ekonomi (Bac ES) dan program sastera (Bac L).

     Sekolah tinggi pula merangkumi tiga cabang iaitu The Institut Universiti Teknologi (IUT) yang menawarkan tempoh pengajian selama 2 tahun dan affidavit diploma serta latihan vokasional. The Universiti pula menawarkan pengajian selama 3 tahun di peringkat Sarjana Muda, 4 tahun pada peringkat sarjana, 5 tahun pada peringkat (DESS@DEA) dan 8 tahun untuk peringkat PhD dan cabang yang terakhir adalah The Grandes Ecoles yang mempunyai beberapa pecahan iaitu Ecoles Polytechnique adalah sebagai pusat untuk melatih jurutera dan ahli sains, manakala Sekolah Tinggi Kajian Pandangan (HEC) pula adalah salah satu bentuk elit yang mengkaji dunia kewangan dan pandangan. Akhir sekali ialah Pusat Pengajian Normal Superior (ENS) adalah pusat untuk melatih bakal guru.

Untuk Keterangan Lanjut | Sila Klik Sini | 1 |


Senarai Sekolah Islam yang wujud di Perancis

Sekolah merupakan salah satu medium utama dalam melahirkan kepelbagaian modal insan yang berkualiti tinggi. Selain itu, ia juga dianggap penting dalam membangunkan salah satu Institusi Pembangunan di negara tersebut. Perancis merupakan sebuah negara yang maju pada hari ini. Institusi pendidikan yang dilaksanakan amat memainkan peranan yang penting dalam memberikan impak yang besar terhadap kemajuan negara pada hari ini.

       Pada awal kebangkitan Perancis, terdapat empat sekolah muslim swasta yang telah dibuka bagi melancarkan saluran-saluran pendidikan kepada anak-anak penduduk perancis itu sendiri. Antara sekolah tersebut ialah Sekolah Sekolah La Reussite, Tinggi Islam Averroes, Sekolah Swasta Al-Kindi dan Sekolah Ibnu Rush. Keempat-empat sekolah ini merupakan pencetus terhadap kebangkitan pengetahuan di perancis. Bahkan, sekolah ini juga merupakan sekolah yang mengamalkan pembelajaran Islam.


Sekolah La Reussite.



Nama Sekolah : Sekolah La Reussite, Pinggiran Aubervilliers, Utara Paris.

Tarikh Perasmian Sekolah : Tahun 2001.

Nama Pengetua : Waridel.

Bilangan Pelajar : 120 orang pelajar.

Tarikh Penutupan Sekolah : 14/10/2010.


Sekolah La Reussite merupakan salah sebuah sekolah yang mempunyai prestasi akademik yang baik berdasarkan daripada rekod pencapaian pelajar di dalam ujian akhir iaitu pencapaian 100% pelajar lulus di dalam peperiksaan. Kurikulum sekolah juga berada di bawah kawalan negara. Terdapat pembelajaran mengenai agama Islam. Namun begitu, sekolah ini ditutup atas perintah mahkamah akibat daripada kekurangan dana untuk membiayai keperluan asas bangunan sekolah, kelas dan sebagainya. Selain itu, sekolah juga mempunyai hutang lebih daripada 4800 dolar amerika (350 ribu euro adalah bersamaan dengan lebih 488 ribu dolar amerika). Sekolah juga memperolehi sumber kewangan daripada kutipan yuran yang dibayar setiap tahun oleh setiap pelajar iaitu 2200 euro bersamaan 3 ribu dolar amerika. Namun, ia tidak membebankan keluarga untuk terus menghantar anak mereka ke sekolah. Namun begitu, bagi menanggung bebanan hutang yang melanda, pihak sekolah telah menjual sebahagian daripada bangunan sekolah bagi mengurangkan kos pembiayaan bangunan. Berikut merupakan luahan hati daripada pelajar, guru dan pengetua sekolah itu sendiri.

Luahan hati pelajar,

“ Sedih apabila dikhabarkan bahawa sekolah akan ditutup kerana aktiviti peribadahan tidak dapat dilakukan sebagai rutin harian. Sebagai contoh, pelajar tidak mengalami tekanan untuk memakai pakaian muslim. Selain itu,guru juga akan memakai tudung semasa mengajar. Akhir sekali, sekali adalah berkaitan dengan pemakaian tudung dilarang sekiranya ingin belajar di sekolah umum perancis”.



Luahan hati guru Bahasa Arab, Fahrad Messadi,




“Pada tahun 2006, negara perancis telah berjanji untuk memberikan dana kepada pihak sekolah, namun hingga kini dana masih tidak diperolehi bahkan sekolah hanya menggunakan duit yang dibayar oleh pelajar pada setiap tahun. Pelajar akan berpindah sekiranya sekolah ditutup”.




Luahan hati pengetua sekolah,
“Mana-mana sekolah yang bertapak selama tempoh 5 tahun dibenarkan untuk mendaftar bagi mendapatkan subsidi oleh pihak kerajaan namun sekolah ini sudah bertapak selama 9 tahun dan masih tidak memperolehi sebarang bantuan kewangan. Oleh itu, sekolah memperolehi dana daripada yuran pelajar, sumbangan swasta dan perniagaan tempatan. Kewangan sekolah mulai sedikit, maka perkara ini dibawa ke mahkamah. Namun, permohonan sekolah untuk memperolehi bantuan gagal seterusnya pihak mahkamah memutuskan bahawa bilangan graduan yang belajar di sekolah swasta sukar untuk memperolehi pekerjaan di sekolah umum perancis kerana pemakaian tudung”.

Untuk Keterangan Lanjut | Sila Klik Sini | 1 | 2 |


Sekolah Tinggi Islam Averroes.


Nama Sekolah : Sekolah Islam Lycee Averroes di Lille, Perancis.

Tarikh Perasmian Sekolah : Tahun 2003.

Nama Pengetua : Amar Laster.

Bilangan Pelajar : 330 orang pelajar.

Pendaftaran : Terbuka kepada pelajar muslim dan non-muslim.


            Sekolah Tinggi Islam Averroes merupakan sekolah pertama di perancis yang ditubuhkan oleh golongan bawahan. Namun, pada hari ini sekolah ini merupakan sebuah sekolah yang terkenal di perancis. Pada awal penubuhan sekolah, pelajar yang mendaftar hanya 11 orang sahaja. Pencetus idea terhadap pembukaan sekolah ini adalah daripada golongan masyarakat (golongan tua) di perancis itu sendiri. Wujud pertentangan ideologi yang berbeza di antara masyarakat dan institusi persekolahan khususnya sekolah umum perancis. Hal ini berikutan daripada dasar-dasar yang digubal 10 tahun dahulu, pihak kerajaan membenarkan mengenai kebebasan, keseteraan dan persaudaraan sesama masyarakat namun begitu masyarakat masih berdepan dengan pertentangan di mana gadis yang belajar di sekolah umum tidak dibenarkan memakai tudung. Perkarangan Masjid di Lille merupakan pusat awal bagi perkembangan sekolah namun pada hari ini, sekolah ini berupaya menampung seramai 600 pelajar kerana mempunyai bangunannya yang tersendiri. Kualiti pendidikan di sekolah ini berkembang baik kerana mendapat sambutan daripada orang tua berbanding sekolah umum perancis. Sekolah ini juga di bawah kontrak kerajaan sejak dari tahun 2008 kerana gaji guru akan dibayar oleh pihak kerajaan dan perlu mengikuti segala kurikulum yang diberi. Oleh itu pihak sekolah perlu menyediakan pendidikan yang berkualiti kepada semua pelajar. Namun pada tahun 2013, kurikulum yang digunapakai di sekolah tidak lagi berada di bawah kontrak kerajaan. Hal ini kerana sekolah sudah mempunyai pembiayaan yang mencukupi untuk menampung segala bentuk pengurusan sekolah. Oleh itu, sistem pembelajaran di sekolah tidak diwajibkan untuk mengikuti kurikulum yang disediakan oleh pihak kerajaan. Sekolah ini mewajibkan pelajar untuk mengambil kelas Bahasa Arab dan Pendidikan Agama Islam selama 1 jam setiap minggu. Selain itu, para pelajar juga mengambil inisiatif untuk solat zuhur berjemaah di sekolah walaupun aktiviti tersebut tidak termasuk di dalam sesi pembelajaran. Pengurusan pihak sekolah juga memisahkan di antara jantina lelaki dan perempuan di dalam kelas dan dewan makan. Sebagai contoh, pelajar perempuan duduk berasingan dengan pelajar lelaki.

Untuk Keterangan Lanjut | Sila Klik Sini | 1 | 2 | 3 | 4 |



Sekolah Swasta Al-Kindi


Nama Sekolah : Sekolah Swasta Al-Kindi di Kota Lyon.

Tarikh Perasmian Sekolah : Tahun 2008.

Nama Pengetua: Rachid Guergour.

Bilangan Pelajar : 20 orang pelajar.

Pendaftaran : Terhad kepada golongan muslim di Kota Lyon (Bahagian Timur Negeri).


            Sekolah Swasta Al-Kindi diambil bersempena dengan nama seorang tokoh pemikir arab abad ke-IX iaitu Filsuf Muslim Yusuf Ya’kub Ibnu Ishaq Al-Kindi (801-873). Sekolah ini mendapat pengizinan daripada Dewan Pendidikan Menengah Perancis (CSE). Keupayaan bangunan sekolah untuk menampung bilangan pelajar adalah seramai 140 orang pelajar yang berusia sekitar 11 tahun sehinggan 16 tahun. Sistem pendidikan sekolah adalah di bawah kurikulum kerajaan Perancis iaitu membenarkan pembelajaran pendidikan Islam selama 2 jam di dalam kelas. Berdasarkan daripada laporan yang dibuat oleh pihak sekolah, peruntukan 1,200 per tahun amat diperlukan bagi membiayai keperluan sekolah. Oleh itu, sekolah telah mendapatkan sokongan daripada masyarakat muslim di Perancis bagi membiayai kos operasi sekolah sebanyak 700,000 euro per tahun.

            Terdapat beberapa isu yang menyebabkan pembukaan sekolah ditangguh. Hal ini berkaitan dengan tindakan Dewan Pendidikan Lyon yang sengaja menangguh proses pembukaan sekolah atas alasan faktor keselamatan. Perkara ini berpanjangan sehingga campur tangan Pihak Berkuasa Pendidikan Daerah. Faktor keselamatan dijadikan alasan utama dalam proses pembukaan sekolah. Terdapat sesetengah pihak yang beranggapan bahawa sekolah tidak dapat dibuka akibat daripada ciri-ciri kawasan yang terletak di luar Kota Lyon. Bahkan, Ketua Lyon Academy juga tidak membenarkan sekolah itu dibuka. Selain itu, Alain Morvan juga memberikan alasan yang sama iaitu faktor keselamatan diri dari segi pencemaran udara yang bakal memberikan kesan ke dalam suasana pembelajaran pelajar di sekolah. Wujud juga krisis di antara Ketua Sekolah “Meddour Zoubir” dan “Persatuan Al-Kindi”. Namun begitu, Persatuan Al-Kindi menafikan dakwaan yang dibuat ke atasnya. Ketua Jawatankuasa Masjid Besar di Lyon iaitu Kamel Kabtane menyekat pembukaan sekolah kerana akan mewujudkan masalah perpaduan di antara masyarakat.

          Pada tahun 2008, Sekolah Al-Kindi berjaya dibuka kerana mendapat sokongan daripada pelbagai pihak. Media cetak memainkan peranan yang penting dalam mengulas maklumat dari segi penulisannya yang menekan Academy of Lyon untuk mencabut dakwaan terhadap penutupan sekolah tersebut.

(Sumber : Sarkozy selaku editor surat khabar La Ties Bien du Lyon)

Sekolah juga menawarkan mata pelajaran tambahan seperti Al-Quran, Sejarah, Peradapan Islam dan Hukum Islam kepada pelajar.

          Namun begitu, Sekolah Al-Kindi juga tidak membezakan pelajar dari golongan yang kaya dan miskin. Kedua-dua golongan tersebut masi boleh bersekolah di tempat yang sama namun kebanyakan ibu bapa lebih berminat untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah yang setaraf dengan kedudukan mereka. Sebagai contoh, anak-anak daripada golongan yang kaya akan dihantar ke sekolah untuk mempelajari mengenai pembacaan Al-Quran, hadis, tyafsir, hafalan, sejarah islam dan sebagainya yang berkaitan dengan islam. Bahkan, anak-anak tersebut akan diajar mengenai bahasa lain iaitu Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab. Selain itu, bahasa tambahan juga akan diajar seperti Bahasa German dan Bahasa Sepanyol. Keadaan ini berbeza pula dengan anak-anak daripada golongan ibu bapa yang miskin. Kebanyakan ibu bapa sering menghantar anak-anak mereka ke madrasah. Terdapat guru yang akan mengajar anak-anak mereka. Pihak madarasah akan mengambil bayaran yang murah dari sesi pembelajaran tersebut. Terdapat dua madrasah yang dibuka di Perancis sepanjang tempoh satu tahun. Jumlah pelajar yang mengikuti kelas tersebut adalah seramai 20 orang sahaja. Tempoh masa pembelajaran adalah dari pukul 9.00 pagi sehingga pukul 12.00 tengah hari sahaja. Mata pelajaran yang diajar adalah dari segi pembacaan Al-Quran dan hafalan, pengantar Bahasa Arab dan pengetahuan tentang Islam iaitu mengenai sejarah Nabi dan sebagainya. Terdapat juga sesi pembelajaran yang tidak formal yang akan diajar oleh sukarelawan terutamanya golongan wanita muslimah di luar masjid. Pembelajaran yang diajar adalah dari segi pembacaan Al-Quran yang dijalankan setiap hari sabtu dan hari ahad.

Untuk Keterangan Lanjut | Sila Klik Sini | 1 | 2 | 3 | 4 |



Sekolah Ibnu Rush


Nama Sekolah : Sekolah Ibnu Rush di Lille.

Tarikh Perasmian Sekolah : Tahun 2006.

Nama Dekan : El-Beshari.

Penasihat Akademik Sekolah : Muammad Al-Mistri.


             Bangunan Sekolah Ibnu Rush mula dibina pada Julai 2003. Sekolah Ibnu Rush di buka bertujuan untuk menangani peningkatan Islamophobia di Negara Perancis. Selain itu, ingin menjaga kualiti imam dan da’i serta mempamerkan suasana Islam yang sebenar sebagai satu agama yang terbuka dan bertoleransi. Bahkan, sekolah ini menerima pelajar Islam dan bukan Islam yang tertarik untuk mempelajari mengenai budaya Islam dan peradapan Islam.

              Pembiayaan Sekolah Ibnu Rush adalah ditanggung sepenuhnya oleh pemerintah di Negara Perancis dan Qatar. Bahkan, kemudahan yang disediakan di sekolah pula dibiayai oleh pemerintah di Kota Lille itu sendiri. Pembelajaran utama sekolah ini adalah mengenai buadaya dan peradapan Islam, sejarah dan prinsip-prinsip hukum Islam. Selain itu, terdapat pelajaran lain yang diajar iaitu sejarah sekularisme di Perancis dan hubungannya dengan agama-agama yang lain. Terdapat juga kursus-kursus khas yang ditawarkan oleh pihak sekolah terutamanya kepada golongan imam dan da’i yang bekerja di penjara, hospital dan kem tentera. Hal ini berikutan kerana, pemerintah di Negara Perancis menginginkan imam dan da’i di kalangan penduduk atau warganegara Perancis itu sendiri. Oleh itu, perkara ini telah mendapat sokongan daripada Daw Meskine yang merupakan imam Masjid Clinchy-Sour-Bois serta setiausaha Dewan Imam Perancis. Keadaan ini secara tidak langsung telah menyebabkan Institusi Islam di Lille telah diberi nama Institut Islam Ibnu Sina.

Untuk Keterangan Lanjut | Sila Klik Sini | 1 |



Sekolah Masjid


Lokasi : Masjid Lyon

Penawaran Kursus : Bahasa Arab, pembelajaran al-Quran dan ilmu agama

Hari : Rabu, Sabtu dan Ahad

Umur Pelajar :
Kanak-kanak berusia 7 tahun
Lelaki dan Wanita dewasa

Yuran : 180 Euro bagi seorang pelajar

Sekolah Masjid adalah salah satu aktiviti yang dijalankan oleh pihak masjid kepada golongan kanak-kanak dan dewasa. Ia dikenali sebagai sekolah masjid kerana lokasi sekolah tersebut adalah di dalam masjid. Oleh itu, pembelajaran yang diajar juga adalah berkaitan dengan ilmu Agama Islam. Sekolah Masjid memperolehi sumber kewangan adalah daripada yuran yang dibayar oleh ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah tersebut.

Untuk Keterangan Lanjut | Sila Klik Sini | 1 |


Senarai Institut Pengajian Tinggi yang wujud di Perancis

Institut Pengajian Tinggi merupakan salah satu saluran yang perlu ada bagi setiap negara. Ia juga dikenali sebagai “Universiti atau Kolej”. Selain itu, kategori umur yang membolehkan seseorang melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi perlulah berumur 18 tahun ke atas. Sistem pendidikan yang ada di Perancis sememangnya diamalkan oleh negara lain namun dari segi pembelajaran yang diajar adalah berbeza dengan negara lain.

      Perancis juga mengamalkan dasar buka pintu yang membolehkan mana-mana pelajar daripada negara lain melanjutkan pelajaran di negara tersebut. Ini dapat dijadikan satu contoh yang baik bagi menyokong usaha pelajar dalam mengenal budaya, tradisi, ilmu dan warisan daripada negara lain. Oleh itu, tidak banyak Institusi Pengajian Tinggi yang ada di Negara Perancis menawarkan bidang pengajian berasaskan pembelajaran di dalam Islam.


University Of Strasbourg


Nama Universiti (Bahasa Perancis) : Universite de Strasbourg

Nama Penuh Universiti : University Strasbourg, Alsace, Perancis

Penubuhan : Tahun 1539

Pengasas : Johannes Sturm



     University Of Strasbourg merupakan Universiti kedua terbesar di Negara Perancis. Malah, penubuhan Universiti ini adalah berdasarkan faktor perkembangan Empayar yang berlaku di Jerman. Kemunculan Empayar Jerman telah menyebabkan terdapat pelbagai bangunan baru yang didirikan di Negara Perancis kerana Jerman menginginkan sebuah karya teragungnya mengenai budaya Perancis berada di Alsace.

Kronologi :

Pada Tahun 1631, telah dijadikan sebagai Universiti Diraja
Pada Tahun 1961, University Of Starsbourg telah diiktiraf sebagai sebuah Universiti umum
Pada Tahun 1970, Universiti telah dibahagikan kepada tiga Universiti yang berasingan
  • Louis Pasteur University (Strasbourg I) – Sains dan Perubatan
  • Marc Bloch University (Strasbourg II) – Sastera dan Sains
  • Robert Schuman University (Strasbourg III) – Undang-undang
Selain itu, Universiti Of Starsbourg amat terkenal dengan salah satu bidang pengajiannya iaitu menawarkan Program Kewangan Islam di Peringkat Sarjana. Ini bertepatan dengan keupayaan potensi besar bagi pasaran kewangna Islam di perancis malahan keadaan ini disokong pula dengan kehadiran bilangan muslim yang mencecah sehingga 6 juta orang. Jumlah pelajar yang berdaftar di Universiti adalah sebanyak 43,000 orang dan mempunyai 4,000 orang penyelidik. Selain itu, pengambilan pelajar asing adalah sebanyak 20% hingga 25%.
        Selain itu, lokasi Kota Strasbourg telah dipilih oleh Turki untuk membiayai keseluruhan pembiayaan sebanyak 15 juta Euro terhadap pembinaan Universiti dan Sekolah Menengah Muslim di Perancis. Universiti tersebut berfungsi dalam menawarkan pengajian pengurusan tinggi teologi yang menyediakan kurikulum Bahasa Arab.

Untuk Keterangan lanjut | Sila Klik Sini | 1 | 2 | 34 |


University Of Paris


Nama Universiti (Bahasa Perancis) : Universite de Paris

Nama Lain Universiti : Sorbonne

Penubuhan : Pertengahan Abad ke-12

Pengasas : Robert de Sorbon

Fakulti : Seni, Perubatan, Undang-undang, Teologi, Bahasa Arab dan Sastera

     Pada awalnya Universiti Of Paris ditubuhkan di Eropah dan mempunyai 13 buah cawangan pada tahun 1970. Antara fakulti yang paling diminati oleh para pelajar adalah bidang sastera. Bidang sastera merupakan salah bidang yang paling rendah namun terdapat ramai pelajar yang mengambilnya untuk meneruskan pengajian di fakulti lain yang lebih tinggi tarafnya. Nama lain Universiti dikenali sebagai Sorbonne kerana pada tahun 1257 penubuhan Institut Kolej (Kolej de Sorbonne). Pelajar juga dibahagikan mengikut negara melalui bahasa dan asal usul mereka seperti Perancis, Noramandy, Picardy, England dan Jerman. Sistem Universiti juga adalah di bawah pentadbiran gereja. Sebagai contoh, pelajar perlu memakai jubah dan kepala perlu dicukur bagi menandakan pelajar tersebut di bawah perlindungan gereja. Pelajar yang belajar di Universiti perlu mengikut undang-undang gereja bukannya undang-undang atau mahkamah Raja.

Untuk Keterangan lanjut | Sila Klik Sini | 1 |


University Of Toulouse


Nama Universiti (Bahasa Perancis) : Universite de Toulouse

Penubuhan : 27 Mac 2007

Pengasas : Bishop Foulques de Toulouse

Pensyarah : Jean de Garlande ; Roland

Fakulti : Sains Eskperimen, Sains dan Teknologi, Sains Kemanusiaan, Sains Sosial dan Kemanusiaan.

Perjanjian Paris 1229, merupakan langkah terbaik yang diambil bagi mengakhiri Peperangan Salib terhadap golongan Albigensian.

Pada Tahun 1969,

Universiti telah berpecah kepada 3 buah, iaitu :
  • University Of Toulouse 1 – Undang-undang, Ekonomi dan Pengurusan
  • University Of Toulouse 2 – Seni, Sastera, Kemanusian dan Bahasa
  • University Of Toulouse 3 – Sains, Teknologi dan Kesihatan

Universiti juga mempunyai institusi-institusi penyelidikan khusus pengajian tinggi, iaitu :
  • Institut Kebangsaan Polytechnique de Toulouse – Kejuruteraan
  • Institut Kebangsaan des Sciences Appliquees de Toulouse – Sains Gunaan
  • Institut Superieur de I’Aeronautique et de I’Espace – Aeronautik dan Angkasa
Selain itu, terdapat juga kursus Bahasa Arab yang ditawarkan oleh Universiti ini.

Untuk Keterangan lanjut | Sila Klik Sini | 1 |


University of Paul-Valery Montpellier III


Nama Perancis : Université de Montpellier

Lokasi : Languedoc-Roussillon Region di selatan Perancis

Pelopor : Paus Nicholas IV

Tarikh Penubuhan : 1969

Bidang Pengajian : Bahasa Arab



Untuk Keterangan Lanjut | Sila Klik Sini | 1 |


Universite de Harve


Lokasi : Le Harve, Seine-Mairitime, France

Bidang Pengajian : Bahasa Arab

Untuk Keterangan Lanjut | Sila Klik Sini | 1 |

      Secara keseluruhannya, Institusi Pendidikan yang terdapat di Negara Perancis sememangnya mempunyai kepelbagaian latar belakang sejarah yang tersendiri. Penubuhan Institusi Pendidikan di negara tersebut juga memberikan satu perubahan baru ke dalam kehidupan masyarakat Perancis. Namun begitu, Institusi Pendidikan berteraskan konsep Islam tidak berjaya mendapat sambutan yang baik di kalangan pemimpin. Hal ini berikutan kerana, pemimpin yang ada pada ketika itu  mengamalkan anutan agama selain agama Islam. Kebanyakan daripada golongan pemimpin lebih menyokong sistem pendidikan yang digunapakai oleh Institusi gereja. Oleh itu, sistem pendidikan berasaskan konsep Islam hanya mendapat sambutan yang baik di kalangan penduduk tempatan terutamanya golongan tua. Oleh itu, wujud pelbagai sekolah yang dibangunkan atas usaha golongan tersebut namun mendapat tentangan yang hebat daripada golongan pemerintah dan Institusi gereja. Keadaan ini berterusan sehingga ke hari ini walaupun sudah ada institusi-institusi pengajian tinggi yang menawarkan sistem pendidikan yang baik namun penerapan nilai-nilai Islam tidak diajarkan secara meluas ke dalam sistem pembelajaran.